Oleh Mujahid
Mujahid agak tertarik
membaca penulisan artikel Mohd Yaakob Mohd Yunus dalam ruangan Cetusan dan
pandangan dalam Sinar Harian Pahang ms N15, bertarikh 29 November, 2009. Memang
dah lama benar Mujahid ingin melontar idea-idea yang serupa beliau, tapi tak
tahu nak mula dari mana. Bagi Mujahid, lontaran idea beliau adalah mewakili
kolompok-kelompok yang selama ini sering dituduh sebagai Wahabi. Dan, perlu
diketahui bahawa kelompok Wahabi adalah kelompok yang telah difatwakan oleh
JAKIM, IKIM, YADIM sebagai kelompok yang sesat, terkeluar dari kelompok Ahli
Sunnah Wal Jamaah.
Sebenarnya, ini suatu
kesilapan yang besar dan perlu segera diperbetulkan sebelum terlambat. Jelas
sekali, apabila kita membaca artikel Saudara Mohamad Yaakob Mohamad Yunus, baru
kita perasan, bahawa Imam Syafi` lah yang Wahabi, kerana Imam As Syafi`elah
yang sangat melarang sebutan lafaz secara kuat `usholli`, imam Syafie lah yang
melarang tahlil arwah kerana katanya, pahala bacaan alQuran tidak akan sampai
kepada orang yang telah mati. Begitu juga Imam Syafi`lah yang melarang wirid
secara Jahr (bacaan kuat) selepas solat. Kalau itulah ciri-ciri mengenal ajaran
Wahabi, bermakna Imam Syafie lah yang Wahabi, dan Syafie telah terkeluar dari
Ahlis Sunnah Wal Jamaah bahkan sesat.
Namun, apabila jelas Imam
As Syafie berani berfatwa begitu kerana bersandarkan kepada AlQuran dan sunnah
nabi, maka Nabi Muhammad saw juga rupanya terseret sama menyebar ajaran sesat fahaman
Wahabi. MasyaAllah. Secara jahil murakkab (bodoh dan sombong) kita telah
tersasarkan tuduhan kepada rasulullah saw. Kita nak kata Wahabi sesat tetapi
secara tak sedar, rupanya kita tuduh nabi yang sesat, sebab larangan wahabi itu
terdapat dalam larangan Imam As Syafie, dan larangan Imam As Syafie itu adalah
merujuk larangan dan pengamalan rasulullah saw dan seluruh para sahabat yang
mulia radialllahuanhum ajmain. Jangan kita lupa, ada 15 perkara yang mana jika
dilakukan oleh umatku, kata nabi saw, halal ke atas mereka bala, diantaranya:
sengaja meninggalkan sunnah nabi dan apabila orang yang terkemudian mencerca
orang-orang yang terdahulu. Wal iyazubillah..
Sunnah itu terbahagi dua;
sunnah amaliyah (sunnah yang mesti dibuat, mesti ikut) dan sunnah tarkiyyah
(meninggalkan sesuatu yang nabi larang juga dianggap sunnah). Contoh: setelah
nabi selesai memberi salam kiri dan kanan selepas solat, dikatakan nabi tidak
menyapu tangannya ke muka, walaupun sahabat terlihat pada dahi baginda terdapat
debu dan pasir kesan daripada sujud (masjid zaman nabi hanya berlantaikan tanah
dan pasir). Kenapa nabi tak sapu? Kerana nabi bimbang umatnya akan menganggap
aksi menyapu muka itu dikira sebahagian sunnah solat, atau akan dianggap
pelengkap solat.
Mari kita telusuri
sebahagian artikel penulisan Mohd Yaakob Mohd Yunus:
Sesetengah golongan yang
menganggap diri mereka sebagai pembela Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) bahkan
penganut mazhab Shafie yang tulen, amat menentang budaya talfiq atau mengikut
hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab. Umat Islam di Malaysia
khususnya orang melayu diwajibkan untuk hanya berpegang kepada mazhab Shafie
sahaja bagi kekal sebagai ASWJ. Mereka yang mengamalkan talfiq maka tercemarlah
pemikiran mereka dan jadilah mereka ini kelompok Wahabi.
Tetapi apa yang
menghairankan adalah, Imam As Syafie sendiri tidak pernah menyuruh sesiapapun
untuk mengikuti pandangan beliau sepenuhnya. Bahkan Imam As Syafie amat
menganjurkan anak murid serta pengikutnya untuk menimbang pandangannya dgn Al
Quran dan As Sunnah sebelum menerimanya. Dalam erti kata yang lain amalan
talfiq itu tidak pernah ditentang oleh Imam As Syafie sendiri.
Menurut Imam As Syafie:
“Apabila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis
Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu”
(Riwayat Al Harawi di dalam Dzam al Kalam, alKhatib di dalam Ihtijaj bi Al
Syafie, Ibnu Asakir, Al Nawawi di dalam al Majmu`, al Fullani, Ibn al Qayyim,
Abu Nua`im di dalam Al Hilyah dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya).
Beliau juga pernah
berkata:”Apabila suatu masalah ada hadisnya yang sahih daripada Rasulullah saw
menurut kalangan ahli hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan
mencabutnya (meninggalkannya) samada ketika aku masih hidup atau selepas kematianku”
( Riwayat Abu Nua`im di dalam
alHilyah, al Harawi, Ibnul Qayyim di dalam
al I`lam dan al Fullani). Namun apabila ada golongan di Malaysia yang
mengikuti saranan Imam as Syafie ini maka mereka dianggap telah menderhaka
kepada Mazhab Shafie versi Malaysia yang dipandang paling tulen.
Melafazkan niat `Usholli`
ketika mengerjakan solat fardhu mahu pun sunat adalah ciri-ciri yang paling
penting untuk menjamin seseorang itu sah bermazhab As Syafie. Jika ada yang
berpegang pendapat tidak perlu berniat `usholli` ketika solat maka tipislah
harapannya untuk mendapat TAULIAH mengajar agama disesetengah negeri.
Anehnya jika kita buka
kitab al Umm maka tidak wujud satu patah baris pun yang mengajar kita lafaz
niat Usholli mahupun nawaitu. Bagi Imam As Syafie, niat itu adalah perbuatan di
dalam hati dan solat itu dimulakan dengan lafaz takbir.
Di dalam al Umm, beliau
berkata: “Siapa yang pandai membaca takbir, nescaya tidaklah dia memulakan
solatnya melainkan dengan takbir itu sendiri dan takbirnya ialah Allahu akbar.”
Jika selepas solat pula tidak
diamalkan zikir beramai-ramai dengan
suara yang kuat, pengamalnya berkemungkinan tinggi akan terus dicap sebagai
pengikut ajaran wahabi yang dianggap oleh sesetengah pihak tidak termasuk dalam
kalangan ASWJ.
Kita buka sekali lagi
kitab al Umm dan lihat apa yang diperkatakan oleh Imam As Syafie tentang
zikir lepas sembahyang. Beliau berkata:
Saya (imam Shafie) memandang baik bagi
imam dan makmum, bahawa berzikir kepada Allah, sesudah keluar (selesai)
daripada solat. Kedua-duanya menyembunyikan zikir kecuali bahawa dia itu adalah
seorang imam yang harus orang belajar darinya. Allah azza Wajalla telah
berfirman: “dan janganlah engkau menyaringkan bacaan doa engkau atau solatmu,
juga jangan engkau perlahankan...(Suroh al Isra` (17): 110). Tidaklah engkau
keraskan, ertinya janganlah engkau tinggikan suara, dan tidak engkau diam
sahaja, ertinya sehingga tidak dapat engkau dengar sendiri.
Imam al Baihaqi
seterusnya memperjelaskan mazhab As Syafie dalam kitabnya Sunan al Kubro:
Bahawa zikir dan doa sesudah solat harus diperlahankan (secara sirr) keciuali
jika imam ingin mengajarkan zikir itu kepada manusia, maka dikuatkan (secara
jahr) supay dapat dipelajari. Apabila sudah selesai dipelajari dan diketahui,
maka zikir dan doa itu haruslah diperlahankan (secara sirr) semula. “ Sekian
pandangan sebenar Imam As Syafie ttg zikir selepas solat tetapi malangnya wujud
sesetengah tokoh di Malaysia beranggapan mereka itu lebih Syafie daripada Imam
As Syafie itu sendiri.
Mengkritik amalan
mengirim bacaan pahala kepada arwah seperti ritual tahlil ketika kenduri arwah
atau membaca alQuran ditepi kubur bukanlah satu perkara yang bijak di Malaysia.
Si pengkritik pasti akan menghamburkan dengan pelbagai kata-kata berbentuk
celaan dan yang paling populer tentulah tuduhan sebagai Wahabi.
Imam al Nawawi di dalam
Syarah Muslim telah berkata: “Adapun bacaan al Quran (yang pahalanya dikirimkan
kepada si mati) maka yang masyhur di dalam mazhab as Syafie tidak dapat sampai
kepada si mati yang dikirim.. Sedang dalilnya bagi imam As Shafie dan
pengikit-pengikutnya, iaitu firman Allah: “bahawa sesungguhnya tidak ada
balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya..” (An Najmi
(53): 39), dan sbda Nabi Muhammad saw: “Apabila manusia meninggal dunia, maka
terputuslah amal usahanya kecuali 3 hal: iaitu sedekah jariah, ilmu yg
dimanfaatkan dan anak yang soleh ( lelaki atau perempuan) yang berdoa
untuknya..” (Hadis riwayat Imam at Tarmizi) Namun kata Imam an Nawawi ini
bagaikan tiada nilai bagi pembela-pembela mazhab As Syafie di Malaysia.
Bagi mereka yang tidak
mahu mengerjakan kenduri arwah bukan sahaj dianggap menderhaka kepada mazhab
Syafie bahkan adakalanya mereka dicerca sebagai golongan bakhil. Sedangkan di
dalam kitab `I`anatu al Talibin ada disebut ttg isu kenduri arwah menurut
mazhab as Syafie: “Apa yang telah menjadi kebiasaan manusia, menjemput orang
menyediakan hidangan yang makanan oleh
keluarga si mati adalah bid`ah yang dibenci, termasuklah di dalam hal ini
berkumpul beramai-ramai di rumah keluarga si mati kerana terdapat hadis Sahih
dari Jabir bin Abdullah r.a, dia berkata: “Kami menganggap berkumpul
beramai-ramai di rumah si mati dan menyiapkan makanan sebagai ratapan..” (Hadis
riwayat Ibnu Majjah) Indahnya pandangan mazhab syafie yang asal berbanding dgn
pandangan dan pegangan mereka yang
mengaku Shafie di Malaysia.
Memadai dgn beberapa
contoh di atas yg diketengahkan bukan bertujuan lagi mengeruhkan lagi suasana atau mengelirukan
sesiapa. Tetapi sekadar mengingatkan kepada sesetengah pihak agar mengkaji
terlebih dahulu perbezaan pendapat yang wujud dikalangan mazhab-mazhab dalam
Islam sebelum menuduh seseorang itu terkeluar dari kelompok ASWJ kerana tidak
berpegang kepada Mazhab As Syafie.
Walaupun seseorang itu
pernah belajar di pondok mahupun lulusan dari Institusi Pengajian Tinggi di
Timur Tengah, ia tidak menjamin bahawa ia telah menguasai semua cabang ilmu.
Qatadah pernah berkata: “ Barangsiapa yang tidak mengenal ikhtilaf (perbezaan
pendapat) maka ia belum mencium fikih (ilmu Fiqah) dgn hidungnya”’ Apabila kefahaman ttg perbezaan pendapat yang
ada di dalam Islam ini tidak berada di tahap yang memuaskan, maka pandangan
yang sebenarnya berasal daripada Imam As Syafie turut dipolemikan sebagai
Wahabi. Jangan nanti pandangan Imam As Syafie terpaksa diketepikan demi untuk
menjaga kesinambungan Mazhab Shafie versi Malaysia sebagai satu-satunya mazhab
yang boleh diamalkan di negara ini.
Sebagai nasihat kepada
semua hayatilah sebuah riwayat daripada Uthman bin Atho` daripada bapanya, dia
berkata: “Tidak seharusnya seseorang berfatwa kepada manusia sebelum ia
mengenathui ikhtilaf yang terjadi dalam kalangan manusia (ulama) kerana jika ia
melakukan hal itu, boleh terjadi dia menolak ilmu yang sebenarnya lebih thiqah
(terpecaya) dari ilmu yg dia yakini”. Berlapang dadalah dalam isu-isu yang
terdapat perbezaan pendapat dikalangan ASWJ.
Ulasan Mujahid:
Sebenarnya kita taknak
mengkaji. Ditambah rasa ego dan sombong, maka sebab itu golongan agamawan tidak
mahu membesar-besarkan hal-hal yang remeh ini.
Mujahid berpandangan, soal
agama tidak mengikut sunnah sepenuhnya bukan perkara yang boleh dianggap remeh.
Ia berkait dengan soal keimanan kita kepada Nabi Muhammad saw yang kita
sebutkan dalam ucapan syahadah. Sejauhmana kita telah laksanakan arahan nabi?.
Kalau sekadar cinta nabi tapi tidak ikut, samalah dengan Abu Talib, jika ikut
tapi tidak cinta, samalah dengan Abdullah bin Ubai bin Salul (tokoh munafiq
dalam sejarah Islam), Kita dalam kategori mana? Perkara yang kita anggap remeh
itu, berkait dengan soal aqidah.
Mujahid pernah
berpengalaman suatu ketika dulu, sebaik sahaja selesai solat magrib, Pak Imam
di sebuah masjid menegur Mujahid, “kenapa anda kata tahlil tak suruh nabi?”
Sedang kami dibayar RM 100 setiapkali bertahlil arwah di mana-mana rumah dalam
Qariah ini. Seminggu lebih kurang 3 kali tahlil, maka kami dapar RM 300
seminggu. Kalau anda kata tahlil takda, habislah sumber pendapatan kami....”
Setelah selesai solat
taubat, Mujahid merenung hidup dipenjuru sejadah, Mujahid mula memahami apakah
sebab golongan agamawan yang `berkepentingan` gunakan istilah Wahabi kepada
golongan yang benar-benar mengikut sunnah Nabi saw. Sebahagian mereka mencari
makan dengan menjaja agama yang bukan agama. Sedangkan Nabi saw, Abu Bakar As
Siddiq, Umar Ibnil Khottob, mereka menjual dunia untuk agama.
Silalah buat kajian.
Bukalah kitab al Umm, biar kita temui sumber asal fatwa Imam As Syafie. Fatwa
paling `selekeh`, apabila Imam Syafie menyatakan bahawa pahala bacaan al Quran
yang dibaca oleh orang hidup kepada orang yang telah mati, tidak akan sampai
kepada simati......Cuba kita fikirkan. Kalau bacaan Quran pun tak sampai kepada
si mati, macamana dengan tahli, sampai ke? Jadi siapa yang tidak membuat acara
tahlil arwah adalah sebenarnya mengikut mazhab as Syafie. Orang yang buat tahli
itulah yang engkar fatwa As Syafie, dan terkeluar dari mazhab As Syafie. Tetapi
suasana di Malaysia sangat berbeza......iaitu siapa yang tidak buat tahlil,
maka ia sesat, terkeluar dari Mazhab As Syafie, bahkan ia terkeluar dari ASWJ.
Aneh bin ajaib.
Mujahid bukan bermaksud
nak membantah ulama, Tok Mufti, Tuan Qadhi......jauh sekali. Mujahid pun memang
tekong Yasin, Tahlil dan talqin sejak dulu sampai sekarang. Cuma Mujahid
bimbang, sampai bila kita nak jadi golongan MUBTADI` (golongan yang
mempertahankan bid`ah)?. Hal-hal yang dianggap remeh ini dibahas oleh sekian
banyak para ulama. Dan semua ini bukan dianggap ijma` ulama. Sepatutnya hal-hal
yang tidak dianggap ijma` ini, maka bebaskan masyarakat untuk memilih samada
nak buat atau tinggalkan. Jika kita memaksa masyarakat islam melaksanakan suatu
perkara `remeh` yang ada perbahasan ulama, semua mesti ikut satu mazhab sahaja,
kita larang umat bertalfiq, maka sebenarnya kita bersikap zolim, membunuh daya
nalar manusia, tidak membenarkan manusia keluar dari kepompong taklid buta,
bahkan kita berlaku zolim kerana mendominasi pemikiran ummah supaya
taksub/ekstrim hanya kepada satu orang atau satu pendapat, taksub kepada satu
kelompok sahaja. Sedangkan kita tahu...islam melarang sebarang bentuk
ketaksuban kepada kelompok tertentu, individu tertentu atau pendapat tertentu.
Sedangkan masih ada ruang untuk berijtihad dan berbahas secara positif. Islam
memuliakan insan kerana anugerah akal pikiran.
Kita paksa orang islam
buat tahlil, talqin, wirid dan lainnya. Siapa yang tidak buat maka ditindak
atas kuasa enekmen. Atau paling tidak menghukum mereka, mencaci sebagai fahaman
Wahabi. Inilah sikap mendominasi, yang akhirnya akan mewujudkan suasana taklid
buta dan taksub melulu, bukan lagi memperjuangkan kebenaran yang termaktub dalam
Quran dan sunnah. Sebahagian mereka hanya berpandukan kepada ijma` dan Qias
semata, sedangkan jawapan agama masih terdapat dalam Sunnah nabi saw.
Mujahid berpandangan,
apabila manusia tidak mengamalkan sunnah, maka bid`ah akan menggantikan tempatnya
(bid`ah adalah lawan kepada as Sunnah). Tetapi dengan munculnya
kelompok-kelompok yang suka `mengkreditkan` amalan sunnah sebagai bid`ah maka
orang islam rata-rata takut nak guna perkataan BID`AH itu, sedangkan rasulullah
saw adalah manusia yang mempopulerkan istilah BID`AH itu, supaya sunnah itu
menjadi hidup dengan subur dalam kehidupan umat islam. Apabila sunnah yang
dikerjakan itu bukan lagi sunnah (nampak mcm sunnah) maka itulah BID`AH.
Apabila bid`ah bermaharaja lela, tiada lagi berkat, rahmat dari Allah, maka itu
akan mengundang bala bencana bahkan semakin mewabaklah perpecahan sesama
manusia.
Wallahu`alam
Mujahid
No comments:
Post a Comment